Dedah surat Warisan perlu untuk kebenaran

Estimated read time 2 min read
Social Sharing

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) menyokong cadangan supaya surat Kerajaan Warisan kepada Kementerian Kewangan pada 2019 dikeluarkan daripada Akta Rahsia Rasmi 1972 dan didedahkan kepada umum untuk membuktikan segala penipuan dan pemesongan fakta yang dibuat parti itu berkaitan pemberian khas daripada Kerajaan Persekutuan terjawab.

Ketua Penerangannya, Datuk Joniston Bangkuai berkata, surat itu perlu didedahkan segera agar rakyat dapat melihat sikap sebenar pemimpin Warisan yang selama ini mendakwa kononnya hanya mereka menjuarai perjuangan menuntut hak-hak Sabah sedangkan perkara sebenar adalah sebaliknya.

Katanya, surat itu adalah bukti yang tidak boleh disangkal oleh Warisan kerana jelas menyatakan bahawa parti itu berpuas hati dengan pemberian khas hanya sebanyak RM53 juta, iaitu jumlah yang lebih kecil berbanding RM125 juta yang dicapai oleh Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Saya sangat bersetuju dengan saranan tersebut kerana surat itu akan menjadi fakta yang tidak boleh dipesongkan lagi memandangkan ketika ini Warisan menuduh GRS gagal memperjuangkan hak rakyat Sabah dengan berkesan.

“GRS dituduh kerana nilai RM125 juta tetapi faktanya Warisan sendiri berpuas hati pemberian khas itu dinaikkan daripada RM26 juta kepada hanya RM53 juta bagi tahun 2020 melalui surat kepada Kementerian Kewangan,” katanya hari ini.

Beliau mengulas saranan dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tuga-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd. Ali semalam supaya surat itu dikeluarkan daripada Akta Rahsia Rasmi 1972 dan tidak lagi sulit.

Joniston berkata, pada masa sama, Kerajaan GRS juga tidak pernah berhenti menuntut agar geran khas 40 peratus daripada nilai cukai yang dikutip dari negeri ini iaitu seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan dilaksanakan kerana jumlahnya lebih besar.

Beliau turut memuji Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yang berjaya menaikkan jumlah tersebut kepada RM125 juta dan turut meningkat setiap tahun kepada RM300 juta menjelang 2026.

Jelasnya, jumlah itu lebih tinggi berbanding ucapan belanjawan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal pada 2020 yang menyokong geran khas itu dinaikkan kepada RM53 juta sehingga RM108 juta dalam tempoh lima tahun.

Sebaliknya, menurut Joniston Warisan memutar belit fakta itu dengan membawa naratif yang memosangkan bagi mengalihkan tumpuan rakyat kepada banyak kejayaan yang dicapai sejak dua tahun Kerajaan GRS memerintah Sabah.

“Sabah semakin hampir mengambil alih pengurusan tenaga negeri yang akan menjadi pemangkin kepada pembangunan negeri dan kita juga mempunyai majoriti kukuh seperti yang terbukti dalam pindaan Perlembagaan Sabah baru-baru ini.

“Selain itu, GRS juga sedang berusaha menyelesaikan masalah bekalan air yang telah berlarutan selama berpuluh tahun iaitu isu yang gagal diselesaikan oleh Warisan semasa memerintah,” katanya.

You May Also Like