Armizan: Warisan ‘bapa pengkhianat’

Estimated read time 2 min read
Social Sharing

TAWAU: Pimpinan Parti Warisan lupa bahawa mereka telah bersetuju menerima jumlah pemberian khas sebanyak RM53 juta daripada Persekutuan, iaitu lebih rendah daripada RM125 juta yang dipersetujui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sejak memerintah Sabah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, berikutan itu, Warisan bolehlah dilabel sebagai bapa pengkhianat kerana ketika ini pimpinannya menuduh GRS sebagai pengkhianat walaupun GRS berjaya mendapatkan jumlah lebih besar.

Menurut Armizan, jumlah RM125 juta itu juga masih boleh bertambah dan bergantung kepada hasil rundingan terhadap tuntutan 40 peratus geran khas daripada hasil kutipan cukai di Sabah yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Warisan bersetuju tawaran Persekutuan pada 2019 untuk menyemak semula kadar RM26 juta menjadi RM53 juta pada tahun 2020. Jika Warisan cakap GRS pengkhianat sebab bersetuju RM125 juta maka mereka bapa pengkhianat kerana bersetuju jumlah yang lebih rendah.

“Pimpinan Warisan dan jenteranya tidak boleh memadam rekod dan sejarah terhadap keputusan yang telah dibuat ketika berkuasa,” katanya di Tawau semalam.

Beliau mengulas kenyataan pimpinan Warisan yang menuduh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor sebagai pengkhianat kerana bersetuju dengan jumlah yang lebih tinggi berbanding Warisan.

Berikutan itu, Armizan menggesa kerajaan untuk mengeluarkan surat yang dihantar Kerajaan Warisan kepada Kementerian Kewangan pada 2019 daripada Akta Rahsia Rasmi 1972 agar dapat didedahkan kepada umum dan menjawab segala penipuan serta penyelewengan parti itu.

Menurut Armizan, hasil usaha GRS, peruntukan RM125 juta itu bukanlah mutlak tetapi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berjanji jumlahnya akan meningkat setiap tahun sehingga RM300 juta.

“Ini bermaksud penyelesaian interim mempunyai asas, kita tidak terikat kepada tempoh lima tahun. Kita akan terus memperjuangkan formula 40 peratus seperti termaktub dalam Perkara 4 Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan untuk berunding dengan Kerajaan Persekutuan,” tegas beliau.

Sementara itu, Armizan berkata dana RM125 juta yang diterima itu telah dipulangkan kembali kepada rakyat Sabah melalui Program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya membabitkan pembinaan rumah kos rendah untuk rakyat.

“Pada tahun 2022, sebanyak 1,500 rumah SMJ kepada golongan berpendapatan rendah dibina dan sebanyak 1,500 lagi akan menyusul.

“Hajiji mampu memberikan 3,000 rumah selama dua tahun memerintah manakala tempoh dua tahun Warisan hanya penuh dengan retorik,” tegas beliau.

You May Also Like