PITAS: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terbentuk selepas politik Sabah diwarnai dengan pelbagai cabaran getir selama berpuluh tahun menyebabkan parti-parti tempatan kini bergabung di bawah satu payung demi kestabilan dan kemakmuran negeri.
Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, untuk mencapai tahap sekarang iaitu Sabah ditadbir oleh parti tempatan merupakan satu kejayaan kepada rakyat keseluruhannya.
Sehubungan itu, beliau yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menyeru agar pemimpin GRS di setiap peringkat bekerja keras memperkasakan parti untuk mencapai kemenangan dalam pilihan raya akan datang.
“Rakyat kita mahu sebuah parti tempatan untuk menjadi platform kita berjuang membela nasib rakyat kita di Sabah. Kita tubuh parti ini bukan mudah, semua tahu perjalanan politik kita di Sabah ini berliku dan penuh cabaran hebat.
“Tapi saya yakin dengan Gagasan Rakyat ini insya Allah perjuangan parti tempatan kita dapat angkat bersama GRS untuk Sabah, inilah gabungan besar yang akan kita pakai dalam pilihan raya akan datang.
“Kita mahu menyatupadukan rakyat kerana kita telah mengalami pelbagai gelombang cabaran politik Sabah, bukan mudah untuk kita sampai ke kedudukan kita hari ini sehingga kita berjaya menggunakan parti tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Gagasan Rakyat Bahagian Pitas di Dataran Pitas hari ini.
Turut hadir, Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Pitas, Datuk Seri Ruddy Awah; Setiausaha Agung Gagasan Rakyat, Datuk Mohd Razali Razi; Ketua Pemuda GRS, Datuk Fairuz Renddan dan Ketua Beliawanis, Emmie M. Idang.
Dalam ucapannya, Hajiji turut menyeru semua pemimpin Gagasan Rakyat agar memperkukuhkan jentera parti itu serta menambah jumlah ahli mereka di semua bahagian.
Katanya, pelancaran Gagasan Rakyat Pitas itu merupakan simbolik untuk semua pemimpin di 73 bahagian memulakan langkah bagi menarik sokongan kepada parti seterusnya memberi kemenangan kepada GRS.
“Inilah yang kita akan lakukan bermula di Bahagian Pitas ini kerana tidak lama lagi Pilihan Raya Negeri (PRN), iaitu kira-kira dua tahun lagi.
“Kalau GRS dan 73 bahagian Gagasan Rakyat sudah sedia, kuatkan bahagian, banyakkan ahli di cawangan, kuatkan jentera sayap kita, Wanita, Pemuda dan Beliawanis, insyaAllah kita boleh fikirkan untuk pastikan kita mendapat mandat rakyat sekali lagi pada PRN akan datang,” katanya.
Hajiji turut mengulangi keyakinannya terhadap keupayaan GRS yang kini dianggotai tujuh parti dalam menghadapi apa saja cabaran ke arah membangunkan Sabah seperti aspirasi rakyat negeri ini.
“Inilah perjuangan kita dalam Gagasan Rakyat, kita pilih parti lokal, cukuplah kita ikut parti nasional. Sekarang tiba masa untuk kita pakai parti lokal, tapi kita tidak boleh gaduh dengan parti nasional. Kita mesti juga kawan dan kerjasama dengan parti nasional tapi keutamaan kita ialah parti tempatan.
“Kita juga mesti kuatkan GRS dan kerjasama dengan rakan komponen kerana kalau kita bersatu padu kita akan lebih kuat dan maju. Kita perlu belajar dari kesilapan lalu, kita banyak bergaduh menyebabkan orang lain mengambil kesempatan,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji memberi jaminan pembangunan daerah termasuk di Pitas akan diberi keutamaan sejajar komitmen Kerajaan GRS membawa pembangunan menyeluruh dan membela nasib rakyat negeri ini.
Katanya, setiap projek yang diumumkan kerajaan pasti akan dilaksanakan demi pembangunan negeri dan kepentingan rakyat terutama di luar bandar.