Hajiji: Ketua jabatan menyusahkan pelabur diambil tindakan

Estimated read time 2 min read
Social Sharing

TUARAN: Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengingatkan setiap ketua jabatan bahawa beliau sentiasa memantau tugas mereka dan memberi amaran akan mengambil tindakan jika ada yang didapati cuba menghalang usaha kerajaan membawa masuk pelabur ke negeri ini.

Ketua Menteri berkata, beberapa contoh telah diperoleh membabitkan tindakan ketua jabatan yang melaksanakan peraturan sendiri ke atas pelabur yang menunjukkan minat untuk melabur ke Sabah menyebabkan mereka menarik diri.

“Dengan bertindak sedemikian mereka telah menghantar mesej yang salah kepada para pelabur yang kemudiannya menarik diri daripada meneruskan pelaburan di negeri ini.

“Saya sentiasa memantau dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas,” katanya dalam majlis angkat sumpah dan penyerahan surat lantikan kepada 19 Ahli Majlis Daerah Tuaran bagi sesi 2023/2025 di Shangri-La rasa Ria Resort hari ini.

Hajiji berkata, tugas setiap ketua jabatan sepatutnya ialah memudahkan kemasukkan pelaburan.

“Jika semua lancar tidak perlu menyusahkan para pelabur, kerajaan ini mesra pelabur.

“Kita juga mahu mencipta peluang pekerjaan kepada rakyat, sebab itulah kita membawa masuk lebih banyak pelabur ke Sabah,” katanya.

Katanya, pelaburan terbaharu yang masuk ke negeri ini ialah syarikat berpangkalan di Singapura, Exteel Group dengan jumlah pelaburan sebanyak RM2 bilion di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).

“Pelaburan ini bukan sahaja mencipta peluang pekerjaan tetapi kesan ekonomi yang besar,” katanya.

Sementara itu, Hajiji menggesa semua ahli majlis daerah yang dilantik agar memainkan peranan masing-masing dan menunaikan tanggungjawab diberikan ke tahap terbaik.

“Peranan ahli majlis sebagai sebahagian daripada kerajaan amat penting terutama memastikan pembangunan di kawasan masing-masing dilaksanakan dengan betul dan sistematik.

“Jangan leka, pantau pembangunan di kawasan anda dengan baik untuk mengelakkannya daripada menjadi kawasan pembangunan rojak,” tegasnya.

Selain itu, beliau turut mengingatkan setiap ahli majlis dan pengurusan kerajaan tempatan agar sensitif dan giat melaksanakan polisi kerajaan serta mampu berfikir di luar kotak.

You May Also Like