KOTA KINABALU: Ahli-ahli Parlimen Gabungan Rakyat Sabah memuji Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah atas strategi dan pendekatan berkesan yang diambil dalam menangani isu tuntutan lapan warga Filipina yang mendakwa kononnya sebagai waris Sultan Sulu dengan memfailkan tuntutan di empat buah negara bermula tahun 2019.
Dalam kenyataan bersama dikeluarkan, GRS turut menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berjanji akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak termasuk rakyat Malaysia sendiri jika membelakangkan kepentingan negara dengan bersengkongkol atau menyokong pihak penuntut.
“Sebagaimana yang dibentangkan oleh Perdana Menteri di Dewan Rakyat semalam, terkini Mahkamah Rayuan Perancis telah membuat keputusan untuk membatalkan Perintah Pelaksanaan yang telah dikeluarkan oleh Mahkamah Paris pada 29 September 2021 yang mengiktiraf Preliminary Award yang dikeluarkan pada 25 Mei 2020.
“Kami menyokong penuh ketegasan YAB Perdana Menteri yang menyatakan bahawa Kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan jenayah menurut undang-undang terhadap mana-mana pihak termasuk warganegara Malaysia yang membelakangkan kepentingan dan keselamatan negara dengan memberikan sebarang sokongan, bantuan secara langsung mahupun tidak langsung dan bersekongkol dengan pihak yang membuat tuntutan,” kata kenyataan itu.
Kesemua mereka ialah Ahli Parlimen Keningau, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan, Datuk Armizan Mohd. Ali (Papar), Khairul Firdaus Akhbar Khan (Batu Sapi), Datuk Jonathan Yasin (Ranau), Datuk Matbali Musah (Sipitang) dan Lo Su Fui (Tawau).
Dalam kenyataan itu, pemimpin-pemimpin GRS turut menyeru kerajaan menjalankan siasatan terperinci terhadap bekas Peguam Negara yang telah mengutus surat kepada pihak penuntut pada 19 September 2019 tanpa kebenaran Kabinet.
Selain itu, mereka turut menyeru Kerajaan Persekutuan memastikan selepas ini tidak ada mana-mana pihak yang bertindak secara uniliteral dalam hal-hal sensitif melibatkan kedaulatan tanah air khususnya negeri Sabah.
“Sehubungan dengan itu, kami juga ingin menggesa Kerajaan untuk membuat siasatan lanjut tentang tindakan mana-mana pihak yang telah mencetuskan ruang untuk pihak penuntut memanipulasi mekanisme mahupun proses perundangan antarabangsa melalui pendekatan ‘forum shopping’.
“Ini termasuk siasatan lanjut dan terperinci terhadap tindakan mantan Peguam Negara yang telah mengutuskan surat kepada peguam pihak penuntut bertarikh 19 September 2019 tanpa mendapat persetujuan Mesyuarat Jemaah Menteri sebagaimana jawapan kerajaan di Dewan Rakyat pada 28 Mac 2023,” kata kenyataan itu.
GRS turut mengulangi gesaan parti itu yang tidak bersetuju dengan bekas Peguam Negara dan telah memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 16 Ogos 2022 terhadapnya atas tindakannya ketika menguruskan isu tuntutan berkenaan.