KOTA KINABALU: Landskap Sabah bakal mengalami transformasi pesat memandangkan pengambilalihan kuasa untuk mengawal selia bekalan tenaga di negeri ini akan menjanjikan pelbagai peluang antaranya inisiatif tenaga boleh diperbaharui, perkembangan ekonomi dan manfaatnya kepada pengguna.
Presiden Gabungan Persatuan Cina Sabah, Tan Sri TC Goh berkata, penghargaan perlu diberikan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor atas visi beliau dan Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dapat membuka peluang lebih besar untuk kemajuan negeri.
“Sabah kaya dengan sumber semula jadi seperti tenaga solar dan air. Dengan peralihan kuasa ini, kita boleh manfaatkan aset-aset ini.
“Langkah bijak ini bukan sahaja satu peristiwa penting terhadap alam sekitar tetapi Sabah kini boleh meletakkan diri sebagai pemain utama dalam menangani perubahan iklim dengan mengurangkan kebergantungan kepada minyak asli.
“Dunia kini sedang berganjak ke arah sumber tenaga mampan, maka Sabah kini berpotensi menjadi hub tenaga mesra alam dengan menarik masuk syarikat serta institusi berkaitan,” kata Goh yang juga Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Cina Malaysia (Huazong).
Beliau berkata, dengan kawalan lebih besar terhadap polisi berkaitan tenaga, kerajaan negeri mampu mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk pelaburan dan pertumbuhan ekonomi.
“Tenaga mampan adalah tulang belakang sesebuah ekonomi. Pihak industri memerlukan jaminan kepada bekalan kuasa yang berterusan dan tidak terganggu.
“Selain itu, dengan membaik pulih dan memperbesarkan lagi infrastruktur tenaga, Sabah mampu menyokong pelbagai jenis industri sekali gus daripada perkilangan, pertanian dan berteknologi tinggi,” katanya.
Jelasnya, pelaburan terhadap infrastruktur tenaga juga akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan di negeri ini dalam pelbagai sektor.
“Ini bukan sekadar kertas kerja tetapi untuk memperkasakan rakyat Sabah. Dengan mengoptimumkan kos pengeluaran, Sabah mampu mengurangkan tarif elekrik.
“Bayangkan kesannya kepada keluarga berpendapatan sederhana, pengurangan bayaran bil bermaksud lebih banyak simpanan untuk dilaburkan dalam pendidikan dan kesihatan atau untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan,” katanya.
Katanya lagi, penurunan kadar tarif akan turut memanfaatkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan kos utiliti yang semakin murah.
“Penurunan kos akan meningkatkan persaingan dan hasilnya mengembangkan lagi perniagaan. Perkembangan perniagaan akan mencipta banyak peluang pekerjaan yang akan memberi sumber pendapatan kepada rakyat dan membantu perkembangan ekonomi.
“Ini adalah penentu kepada masa depan Sabah, kita mempunyai potensi yang tidak terhingga,” tambahnya.