Diplomasi Hajiji Terbukti Berjaya Dalam Pentadbiran

Estimated read time 3 min read
Social Sharing

KOTA KINABALU: Kejayaan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mendapat kebenaran secara prinsipal untuk Sabah mengambil alih pengurusan bekalan elektrik negeri daripada Kerajaan Persekutuan sebelum dimuktamadkan Januari 2024 merupakan bukti komitmen Kerajaan GRS untuk membangunkan Sabah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, Hajiji turut membuktikan bahawa strategi diplomasi dalam perundingan dengan Kerajaan Persekutuan membuahkan hasil walaupun beberapa pihak berterusan menyebar propaganda negatif serta mempertikai kemampuannya.

“Inilah yang saya cakap walaupun ramai orang pertikai Ketua Menteri tidak mendesak tetapi sebenarnya beliau bercakap secara diplomasi, ini rakyat tidak tahu tetapi apa yang kita nampak hasil positif, ada pemimpin minta pertolongan secara mendesak tetapi bukan semua boleh buat begitu kita kena mainkan peranan mengikut keadaan semasa.

“Ketua Menteri kita tidak nampak dia melenting tetapi sebenarnya tegas dan berkebolehan berunding kerana faktor pengalamannya sudah lama berpolitik dalam mana-mana parti dan sudah tahu karenah yang perlu dihadapi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Masiung mengulas mengenai kejayaan Ketua Menteri secara prinsipal dalam usaha merealisasikan proses pengambilalihan urusan bekalan elektrik Sabah daripada Kerajaan Persekutuan yang sekian lama ditunggu-tunggu.

Dalam kenyataannya semalam, Hajiji berkata, satu Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Khas akan diadakan pada 3 Januari 2024 untuk memuktamadkan perkara itu dan dalam tempoh beberapa bulan ini urusan perundangan akan diselesaikan termasuk yang berkaitan dengan Perlembagaan Persekutuan dan beberapa Akta.

Menurut Masiung, harapan besar rakyat Sabah terutama di Tongod agar masalah bekalan elektrik dan kemudahan asas yang selalu berlaku dapat diselesaikan demi pembangunan ekonomi rakyat serta negeri secara keseluruhannya.

Beliau turut mengingatkan kakitangan awam yang merupakan pelaksana dasar agar turut selari dengan komitmen Ketua Menteri bagi membolehkan setiap dasar yang dibuat dapat dilaksanakan dan dirasai di peringkat akar umbi.

“Tongod merupakan antara lapan daerah termiskin di Malaysia jadi harapan kita untuk membangunkannya ialah melengkapkan kemudahan asas seperti jalan raya, air dan elektrik kerana di sana banyak sumber alam yang boleh diterokai.

“Walaupun ada bantuan kerajaan seperti menternak itik, buat kolam ikan itu bukan penyelesaian jangka panjang, cuma sementara tetapi untuk jangka panjang perlu sediakan satu sistem ekonomi sebagai contoh kilang industri galian di Tongod yang bukan sahaja menambah sumber pendapatan tetapi membuka peluang pekerjaan,” katanya.

Sementara itu, ADUN Balung, Datuk Hamild Awang berkata, usaha Ketua Menteri itu merupakan komitmen yang telah dimaktubkan dalam Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya demi memastikan pembangunan negeri dan rakyat diteruskan.

Katanya, pengambilalihan pengurusan bekalan elektrik membolehkan kerajaan negeri bertindak segera dalam membuat keputusan tanpa perlu menunggu arahan daripada Kerajaan Persekutuan seperti amalan sebelum ini.

“Apabila di bawah kerajaan negeri maka maka lebih mudah untuk rakyat salurkan aduan dan kerajaan dapat bertindak lebih efisien, agar dapat ditangani dengan cepat tanpa perlu merujuk pihak di Kuala Lumpur seperti sekarang.

“Ini amat baik untuk negeri Sabah termasuklah kawasan saya dan di Tawau kerana pengurusan akan lebih mudah dan saya juga yakin insya Allah akan ada lebih banyak lagi pencapaian Ketua Menteri yang akan dapat dinikmati rakyat Sabah selepas ini,” katanya.

You May Also Like