KOTA KINABALU: Kritikan pembangkang tidak akan menutup hakikat rasa cemburu mereka terhadap kejayaan kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor sejak pilihan raya negeri lalu.
Sejak dua tahun lalu, hasil negeri melonjak naik kepada RM12.409 bilion, satu jumlah yang tidak pernah langsung dicapai oleh Warisan sepanjang dua tahun memerintah.
Tidak hairanlah ramai pihak merasakan Hajiji dan Kerajaan GRS pimpinan beliau telah membawa tuah (lucky charm) untuk Sabah jika melihat kepada kejayaan-kejayaan dan beberapa peristiwa penting yang berlaku.
“Banyak perkara baik berlaku sejak Hajiji mengetuai kerajaan. Sebab itulah pembangkang terpaksa memainkan dan mempolitikkan isu-isu yang telah berlaku sejak sekian lama,” kata Exco Pemuda Gagasan Rakyat Pusat, Noorudin Abd Hussin.
Berikutan itu, beliau mengingatkan cyber troopers dan individu-individu yang mencemburui GRS bahawa kerajaan yang ada sekarang telah mendapat mandat untuk memerintah.
“Tidak perlulah melebih-lebih dengan isu yang ada,” katanya yang juga merupakan Ketua Pemuda Gagasan Rakyat Bugaya.
Noorudin berkata, Ketua Menteri menyedari kestabilan politik sangat penting untuk Sabah terus maju ke depan kerana pertumbuhan ekonomi dan kestabilan berkait rapat.
Tambahnya, tiada siapa mahukan ketidakstabilan tetapi jika ekonomi kukuh dan stabil, rakyat akan mendapat banyak peluang untuk kehidupan yang lebih baik.
Beliau turut mengingatkan Warisan bahawa parti itu telah tewas dalam pilihan raya negeri 2020, justeru mereka perlu menerima kekalahan dan membiarkan GRS mengambil peranan menjaga negeri ini.
Ini kerana katanya, GRS akan mempunyai kelebihan berbanding musuh politik mereka atas kejayaan yang direkodkan semasa memerintah.
“Buktikan kemampuan anda berlawan dengan GRS dalam pilihan raya akan datang.
“Kerajaan GRS mendapat sokongan rakyat, kerajaan ini akan kekal dan terus memerintah negeri demi kebaikan rakyat,” tambahnya.
Beberapa bulan lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengembalikan beberapa kuasa kepada kerajaan Sabah selari dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), dokumen yang menjadi asas pembentukan Persekutuan Malaysia.
Dengan sokongan daripada GRS, GPS dan Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) pimpinan Anwar berjaya membentuk Kerajaan Perpaduan di Putrajaya.
Tidak lama selepas itu, pada Disember tahun lalu, Anwar seperti dilaporkan telah menyerahkan sepenuhnya kuasa mengawal selia industri gas kepada kerajaan Sabah.
“Kuasa menentukan harga gas sebelum ini terletak di tangan Persekutuan dan Petronas, tetapi dengan penyerahan kuasa, kuasa kini di tangan kerajaan Sabah,” kata Anwar selepas mesyuarat Kabinet.
Selain itu, Anwar turut memberikan kuasa meluluskan projek pembangunan bernilai RM50 juta ke bawah kepada kerajaan Sabah dan Sarawak tanpa perlu mendapatkan kelulusan Kerajaan Persekutuan.