Joachim mahu ahli PBS jadi ‘batu penjuru’

Estimated read time 2 min read
Social Sharing

KOTA BELUD: Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Dr Joachim Gunsalam mahu setiap pemimpin dan ahli parti itu bertindak sebagai ‘batu penjuru’ kepada PBS.

Katanya, dengan adanya batu-batu penjuru maka kekuatan PBS akan bertambah kukuh dan berpengaruh. Dalam erti kata sebenar PBS lebih kebal daripada segala tomahan dan fitnah oleh musuh-musuhnya terutama pembangkang.  

“Memiliki ahli yang ramai adalah keutamaan parti tetapi, pada masa yang sama kita juga mahu setiap bahagian dan cawangan PBS diperkukuhkan. Ini kerana setiap bahagian dan cawangan PBS itu adalah “kota” atau benteng pertahanan yang perlu dikemaskini, diurus dan dijaga dengan baik.

“PBS sangat kagum dengan gerak kerja pantas yang dilakukan oleh para pemimpin dan ahli di peringkat akar umbi yang bekerja keras mencari/menambah ahli-ahli baharu,  itu lah kelebihan mereka yang patut dipuji”, kata Joachim ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-38 bagi empat bahagian (Kadamaian, Pintasan, Usukan dan Tempasuk) di Rumah Kebudayaan Tobilung, dekat sini, pada Khamis.

Joachim yang juga Timbalan Ketua Menteri II mengakui bahawa memiliki ahli yang ramai di peringkat akar umbi merupakan satu kelebihan kerana mereka lah sumber kekuatan parti.

AGM itu dihadiri lebih 200 orang perwakilan dan pemerhati dari bahagian-bahagian tersebut.

Joachim juga menerima borang permohonan keahlian baharu daripada 700 orang yang disampaikan oleh Ketua Bahagian PBS Pintasan, Muji Ampau.

Turut hadir, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar merangkap Ketua Penerangan PBS Pusat, Datuk Joniston Bangkuai; Naib Presiden yang juga Ketua Pemuda PBS Pusat, Christoper Mandut dan Setiausaha Pergerakan Wanita selaku Pengerusi Mesyuarat, Stepfonie Chan.

Hadir sama Ketua Bahagian PBS Kadamaian, Demis Rumanti; Tempasuk (James Baga)  dan Usukan (Lamdin Kuyab).

You May Also Like