TAWAU: Parti Bersatu Sabah (PBS) sedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) sekiranya diadakan pada bila-bila masa dan, yakin boleh mencapai kemenangan.
Keyakinan ini berdasarkan kepada perkembangan politik terkini dimana ramai pemimpin dan penyokong akar umbi dalam kalangan parti-parti pembangkang secara terbuka menyatakan sokongan kepada kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

“Silih berganti pemimpin dan penyokong parti pembangkang terutamanya daripada Parti Warisan Sabah meninggalkan parti itu sama ada secara individu atau berkumpulan.
Timbalan Presiden PBS, Datuk Joachim Gunsalam (gambar) berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-38 PBS Bahagian N.83 Sebatik di sini, Sabtu lepas.
Joachim berkata, PBS masih lagi relevan dalam memperjuang dan mempertahankan hak-hak orang Sabah.
Katanya, untuk mencapai matlamat itu semua ahli parti mestilah berganding bahu, bersatupadu dan bekerja keras menambah keahlian baharu di semua peringkat bagi memastikan parti itu terus kuat.
Kira-kira 380 ahli perwakilan dan pemerhati telah menghadiri AGM tersebut.
Dalam mesyuarat itu, Joachim mengalu-alukan kemasukan lebih 600 ahli baharu ke parti PBS.
Turut hadir, Ketua Bahagian PBS Kadamaian, Demis Rumanti; Naib Exco Pergerakan Pemuda, Shahrun Nidzam Sharoom; dan Setiausaha PBS Kundasang, Japli Sami.