Lagi pemimpin hilang kepercayaan kepada Warisan

Estimated read time 2 min read
Social Sharing

KOTA KINABALU: Parti Warisan semakin kurang mendapat kepercayaan selepas beberapa lagi pemimpinnya yang menjadi pejuang parti itu sejak penubuhannya bertindak keluar parti dan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).

Kumpulan tersebut yang diketuai bekas Ahli Majlis Tertinggi Warisan, Nicholas Chak menyatakan sokongan kepada Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor selepas melihat usaha beliau sebagai Ketua Menteri dalam membentuk kestabilan politik dan membangunkan negeri.

“Dalam pilihan raya tahun lalu, rakyat telah membuat keputusan melalui undi sehingga terbentuk kerajaan perpaduan. Ini masanya untuk menyokong penuh kerajaan perpaduan dan fokus kepada pentadbiran.

“Perbezaan politik perlu diketepikan sehingga pilihan raya akan datang kerana ini masanya untuk memikirkan kebajikan rakyat dan kestabilan politik agar mereka boleh terus bekerja dan meneruskan perniagaan,” katanya dalam kenyataan bersama.

Selain Nicholas, turut bersama beliau meninggalkan Warisan ialah pemimpin-pemimpin akar umbi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Aru iaitu Datuk David Chong, Faridah Wasli, Maxxy Loo dan beberapa lagi ahli Warisan Bahagian Kota Kinabalu.

Kumpulan tersebut telah berjumpa dengan Hajiji di kediaman rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya semalam bagi menyatakan hasrat mereka.

Sebelum ini, beberapa wakil rakyat Warisan telah meninggalkan parti itu selepas hilang kepercayaan kepada kepimpinan parti diketuai Presidennya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Sejak kalah dalam pilihan raya negeri 2020, Warisan gagal menunaikan peranannya membantu rakyat walaupun berada di pihak pembangkang selain hanya membangkang segala usaha murni kerajaan untuk membangunkan negeri.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, mereka turut memuji langkah Ketua Menteri dalam menyelesaikan isu bekalan air yang berlaku di Sandakan.

“Ketua Menteri mahu menyelesaikan masalah air masin di Sandakan dengan segera agar penduduk Sandakan dapat menikmati bekalan air bersih,” katanya.

You May Also Like