PM: RM320j Selesai Segera Masalah Air Sabah

Estimated read time 2 min read
Social Sharing

KUALA LUMPUR: Kerajaan Sabah menerima bantuan kewangan segera daripada Kerajaan Persekutuan sebanyak RM320.25 juta bagi mempercepatkan pelaksanaan pelan jangka pendek untuk menyelesaikan masalah bekalan air di negeri ini dalam tempoh enam hingga 12 bulan.

Keputusan tersebut dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas diberi penerangan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengenai permasalahan yang berlaku di pejabat Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Media dan Komunikasi Jabatan Ketua Menteri berkata, Hajiji turut disertai Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir Shahelmy Yahya dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong dalam mesyuarat tersebut.

“Pelan jangka pendek itu melibatkan enam program meliputi 20 projek di seluruh negeri termasuk sembilan projek di daerah Kota Kinabalu, Tuaran, Putatan, Papar, Beaufort, Keningau, Tawau, Lahad Datu dan Sandakan.

“Hajiji yang menyambut baik keputusan Perdana Menteri itu turut berkongsi pelan jangka panjang kerajaan negeri termasuk pembinaan dua empangan di Papar dan Upper Padas, Sipitang untuk memastikan bekalan air berterusan,” kata kenyataan itu.

Bagi memastikan pelan jangka panjang itu berjaya, Anwar telah meminta satu pasukan petugas diwakili kerajaan negeri dan Persekutuan dibentuk segera bagi memperhalusi dan mencari jalan terbaik.

Menurut kenyataan itu, rombongan Ketua Menteri turut disertai Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Sabah, Datuk Mohd. Sofian Alfian Nair; Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya Sabah, Datuk Mohd. Hanafiah Mohd. Kassim dan Pengarah Jabatan Air Sabah, Suhaimi Asbullah.

Turut hadir mewakili Kerajaan Persekutuan dalam mesyuarat berkenaan ialah Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli; Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd. Ali dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali serta pegawai agensi negeri dan Persekutuan yang berkaitan.

Semalam, ketika hadir di Majlis Sambutan Pesta Kaamatan 2023, Perdana Menteri telah memaklumkan satu mesyuarat tertinggi akan diadakan hari ini bagi menyelesaikan masalah air di Sabah.

You May Also Like