Jawapan kepada politik terdesak Warisan

Estimated read time 3 min read
Social Sharing

KOTA KINABALU: Disebabkan terlalu terdesak untuk kembali berkuasa menyebabkan Warisan kini giat menyebarkan tuduhan palsu terhadap kerajaan berhubung pemansuhan Perkara 6(7) Perlembagaan Negeri Sabah agar rakyat yang tidak memahaminya mudah dihasut dan terpengaruh sehingga membenci kerajaan.

Hakikatnya, perubahan senario politik semasa Sabah atau sejak 2018 menyaksikan Perkara 6(7) itu tidak lagi relevan memandangkan tiada mana-mana parti tunggal yang mampu melepasi kemenangan lebih 50 peratus dalam pilihan raya untuk mendapat majoriti mudah bagi membentuk kerajaan.

Banyak penjelasan telah dibuat sebelum ini mengenai perkara tersebut, malah kedua-dua Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan sebelum ini turut menyatakan secara jelas Perkara 6(7) hanya terpakai jika ada satu parti politik memenangi lebih 50 peratus kerusi dan jika tidak, Yang Dipertua Sabah hanya memerlukan Perkara 6(3) untuk melantik Ketua Menteri.

Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Dr. Joachim Gunsalam telah menjelaskan bahawa Yang Dipertua Sabah, Tun Juhar Mahiruddin telah bertindak menggunakan hanya Perkara 6(3) untuk melantik Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor sebagai Ketua Menteri ketika krisis politik berlaku selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 2020 apabila tiada parti mendapat majoriti mudah.

“Pada 2020 selepas PRN, tiada satu parti politik yang menang lebih 50 peratus daripada 73 kerusi DUN yang dipertandingkan. Oleh itu, Artikel 6(7) tidak terpakai.

“Sehubungan itu, Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin menggunakan budi bicara di bawah Artikel 6(3) dan memperkenan Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor sebagai Ketua Menteri,” katanya Joachim seperti dilaporkan.

Joachim juga sebelum ini telah menasihatkan Mohd. Shafie untuk mencabar keputusan Yang Dipertua Sabah ke mahkamah, namun sehingga hari ini Warisan tidak melakukan apa-apa kerana sedar bahawa pelantikan Hajiji adalah sah.

Jika melihat sejarah PRU 2018 turut jelas membuktikan bagaimana Perkara 6(7) telah tidak relevan menyebabkan Tan Sri Musa Aman yang telah mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri pada 10 Mei 2018 akhirnya diganti dengan Mohd. Shafie dua hari kemudian.

Pada waktu itu, keputusan PRU 2018 menyaksikan Barisan Nasional (BN) mendapat 29 kerusi manakala kerjasama antara Warisan – DAP – PKR turut mendapat 29 kerusi dan dua lagi kerusi dimenangi oleh parti STAR pimpinan Datuk Seri Dr, Jeffrey Kitingan.

Sehari selepas keputusan yang menyaksikan tiada parti melepasi kemenangan lebih 50 peratus, BN dan STAR membentuk kerjasama menjadikan jumlah 31 kerusi yang membawa kepada pelantikan Musa, namun tindakan enam ADUN UPKO daripada BN pada masa itu beralih sokongan kepada Mohd. Shafie menyebabkan kerajaan Warisan dibentuk dengan kerjasama DAP – PKR – UPKO.

Harus diingat bahawa pada waktu itu Warisan sebagai satu parti politik juga tidak melepasi kemenangan 50 peratus, namun hanya berjaya membentuk majoriti selepas disokong oleh DAP – PKR – UPKO seperti yang dinyatakan dalam Perkara 6(3).

Senario sama berulang selepas PRN 2020 apabila Mohd. Shafie melalui Warisan Plus memenangi kerusi terbanyak tetapi tidak melepasi 50 peratus justeru Yang Dipertua Sabah melantik Hajiji selepas GRS pada masa itu menjalin kerjasama dengan UMNO.

Keputusan Tun Juhar itu membuktikan kebijaksanaan dan pemahaman beliau mengenai Perlembagaan Negeri Sabah, namun tidak pernah diakui oleh Warisan sebaliknya parti itu lebih suka menabur fitnah untuk mengelirukan rakyat.

Sementara itu, jawapan kepada tuduhan Warisan kononnya parti yang tidak bertanding pun boleh menjadi Ketua Menteri adalah amat dangkal dan telah dijawab oleh Datuk Seri Yong Teck Lee dalam sidang DUN baru-baru ini.

Beliau secara tegas menyatakan bahawa Perkara 6(3) hanya digunakan sejurus selepas keputusan pilihan raya dan langsung tiada kena mengena selepas itu jika mana-mana ADUN kemudiannya bertukar atau membentuk parti baharu kerana ia adalah dua perkara berbeza.

Kesimpulannya, tuduhan Warisan terhadap Kerajaan GRS sebenarnya lebih kepada sikap munafik pemimpinnya seperti yang dinyatakan ADUN Kunak Norazlinah Arif semasa sidang DUN:

“Jika sesuatu perkara tidak memihak Warisan mereka akan menentang habis-habisan tetapi jika memihak, segalanya menjadi yang suci murni.”

You May Also Like