KUALA LUMPUR: Datuk Raja Nurshirwan Zainal Abidin telah dilantik sebagai Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang baharu berkuat kuasa hari ini.
Dalam kenyataan media hari ini, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali, berkata Raja Nurshirwan berpengalaman luas dalam perkhidmatan awam dengan pengkhususan kepada hubungan antarabangsa dan pernah ditempatkan di pelbagai negara termasuk Amerika Syarikat, Sweden dan Singapura.
“Jawatan terakhir beliau adalah sebagai Duta Besar di Kedutaan Besar Malaysia di Beijing, Republik Rakyat China.
“Semoga pelantikan beliau sebagai Ketua Pengarah MKN akan memacu kecemerlangan MKN dalam menerajui penggubalan dasar dan pengurusan keselamatan negara secara komprehensif, bersepadu dan berkesan dalam memastikan negara kekal aman, sejahtera serta berdaulat,” katanya .
Raja Nushirwan, 53, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Abertay, Dundee, Scotland.
Beliau memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 21 Mac 1994 dan ditempatkan di Kementerian Luar Negeri.