KOTA KINABALU: Krisis politik membabitkan pelantikan Ketua Menteri Sabah selepas pilihan raya umum 2018 dan pilihan raya negeri 2020 merupakan sebab kenapa kerajaan meminda Perlembagaan negeri melibatkan Perkara 6(7) yang diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dalam jawapannya di DUN semalam berkata, situasi politik semasa telah berubah, justeru kepelbagaian interpretasi diguna pakai membabitkan Perkara 6(7) menyebabkan krisis 2018 dan 2020 apabila tiada satu parti berjaya memenangi lebih 50 peratus kerusi DUN untuk membentuk majoriti mudah.
Sehubungan itu katanya, pemansuhan Perkara 6(7) akan memudahkan Yang Dipertua Sabah untuk melantik seorang Ketua Menteri berdasarkan Perkara 6(3) iaitu mana-mana individu yang mendapat sokongan majoriti ADUN atau selepas kerjasama beberapa parti politik.
“Saya bagi contoh misalnya Perkara 6(7) hanya terpakai dalam situasi berikut,
parti A memenangi 40 kerusi daripada 73, ketua parti A memenuhi Perkara 6(7) untuk dilantik sebagai Ketua Menteri itu situasi yang berlaku, ianya boleh terpakai.
“Tetapi Perkara 6(7) tidak terpakai atau tidak sesuai dalam situasi berikut,
parti A menang 26 kerusi, parti B 29 kerusi parti C 15 kerusi dan parti D menang 3 kerusi masing-masing daripada keseluruhan 73 kerusi.
“Dalam situasi ini tidak ada mana-mana parti yang memenangi kerusi majoriti untuk membentuk kerajaan dan kerajaan menjadi tergantung hung government seperti yang berlaku di negeri ini sejak 2018,” katanya semalam.
Sebagai rekod, Perkara 6(3) Perlembagaan Sabah menyatakan Yang Dipertua Sabah boleh melantik seorang ADUN yang pada pandangan beliau mendapat sokongan majoriti daripada keseluruhan ADUN yang ada.
Perkara 6(7) pula merujuk kepada pelantikan ketua parti politik daripada satu parti yang memenangi kerusi majoriti sebagai Ketua Menteri.
Hajiji berkata, pemansuhan Perkara 6(7) bukannya mengecilkan kuasa Yang Dipertua Sabah sebaliknya mempermudahkan beliau untuk membuat keputusan bagi mengelakkan daripada krisis berlarutan.
Tegas beliau, itulah yang berlaku pada 2018 dan 2020 apabila Ketua Menteri dilantik daripada kalangan ADUN yang mendapat sokongan majoriti selepas gabungan kerjasama beberapa parti politik dibentuk.
“Seperti mana yang dewan ini maklum kerajaan yang dibentuk sejak 2018 adalah melalui kerajaan gabungan dan jika merujuk Perkara 6(7) tidak ada ketua parti yang memenuhi kehendak perkara berkenaan.
“Saya tidak mahu mengungkit perkara ini tetapi itu yang berlaku apabila keadaan baru-baru ini (2020) kerana Warisan tidak melepasi 50 peratus daripada 73 kerusi tetapi ada usaha menasihati TYT pada waktu itu untuk melantik ketua parti daripada Warisan kerana dia mempunyai bilangan kerusi yang banyak dalam DUN.
“Sedangkan walaupun waktu itu gabungan GRS ini tidak rasmi tetapi sudah disebut bahawa kerjasama itu begitu dan kerana itulah TYT walaupun diberi pandangan nasihat pada waktu itu sedemikian tetapi masih memilih kita yang bukan secara rasmi tetapi mendapat sokongan majoriti ahli-ahli dewan,” jelas Hajiji.