KOTA KINABALU: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali berkata komitmen Kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan isu bekalan air di Sabah tidak akan menganggu-gugat bidang kuasa, hak dan kepentingan kerajaan negeri.
Katanya, air adalah salah satu bidang kuasa negeri sebagaimana yang terkandung dalam Senarai II Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.
“Oleh itu, tidak perlu risau kerana Kerajaan Persekutuan dibawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa menghormati hak dan juga kepentingan negeri termasuklah bidang kuasa tambahan kepada Sabah dan Sarawak,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan asal Lo Su Fui (GRS-Tawau) yang ingin tahu komitmen kerajaan untuk membantu menyelesaikan isu bekalan air di Sabah seperti yang dinyatakan dalam Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan termasuk pendekatan mengambil alih pengurusan air di Sabah seperti yang dilaporkan media.
Konvensyen pada 14 Mei lalu, Anwar dilaporkan berkata akan mengundang Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob bagi mencari jalan menyelesaikan masalah air di kedua-dua negeri itu.
Perdana Menteri juga berkata beliau amat komited mencari penyelesaian isu tersebut setelah mendapat imput permasalahan daripada pemimpin negeri berkenaan berhubung masalah yang membelenggu kedua-dua negeri sejak sekian lama.
Dalam perkembangan lain, Armizan berkata tiada keperluan mewujudkan sebuah kementerian khusus untuk hal ehwal Sabah dan Sarawak bagi mengelakkan kemungkinan berlakunya pertindihan tugas dengan kementerian sedia ada di peringkat Persekutuan.
Katanya, Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS) Jabatan Perdana Menteri yang diwujudkan pada Mac 2020 berperanan sebagai sekretariat kepada isu-isu berbangkit berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Biarlah BHESS sahaja yang bertindak sebagai sekretariat atau urus setia untuk kita menyusulkan rundingan antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan Sabah dan Sarawak tanpa perlu mengganggu gugat fungsi menteri di setiap kementerian.
Armizan berkata, kena lihat prinsip untuk memberikan lebih pemerkasaan (iaitu) pemberian kuasa kepada negeri dan begitu juga devolution of authority (iaitu) penurunan kuasa kepada Sabah dan Sarawak, jadi setekat ini kita perlu menjunjung komitmen itu iaitu pemerkasaan dan penurunan kuasa tanpa perlu tubuhkan satu kementerian khusus yang bertanggungjawab kepada Sabah dan Sarawak.
“Ini bagi mengelakkan berlakunya pertindihan dengan kementerian di peringkat Persekutuan yang akhirnya akan menjejaskan usaha memberikan pemerkasaan dan penurunan kuasa kepada kerajaan Sabah dan Sarawak,” katanya bagi menjawab soalan tambahan Lo mengenai keperluan untuk mewujudkan kementerian khas bagi hal ehwal kedua-dua negeri itu bagi menyelesaikan isu-isu yang tertangguh.