DUN Sabah Luluskan RUU Anti-lompat

Estimated read time 2 min read
Social Sharing

KOTA KINABALU: Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Nor mencipta sejarah sebagai Ketua Menteri yang berjaya menamatkan tindakan lompat parti di Sabah selepas berjaya meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Sabah (Pindaan 2023) di Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Ketua Menteri turut membuktikan beliau mendapat sokongan kukuh untuk mentadbir Sabah apabila mendapatkan lebih dua pertiga sokongan selepas undi belah bahagian dijalankan bagi salah satu fasal dalam pindaan berkenaan.

Dengan kelulusan tersebut, mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah yang melompat parti selepas ini perlu mengosongkan kerusi yang dimenangi dengan serta-merta, namun masih berpeluang bertanding semula tanpa halangan.

“Saya ingin menegaskan komitmen kerajaan dalam penggubalan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Sabah (Pindaan) 2023 ini. Pindaan ini bertujuan untuk memastikan kestabilan politik dan mengelakkan negeri terus berdepan dengan krisis politik yang tidak berkesudahan.

“Pindaan undang-undang ini juga akan memberikan mesej yang jelas kepada setiap ADUN supaya
berpegang teguh kepada prinsip parti yang diwakili untuk melindungi mandat rakyat yang telah memberi undi serta kepercayaan tinggi kepada ahli yang dipilih ketika proses pilihan
raya,” katanya ketika membentangkan RUU berkenaan.

RUU berkenaan melibatkan lima klausa iaitu memberikan kuasa kepada Yang Dipertua Negeri untuk menetapkan tarikh permulaan kuatkuasa RUU, pemansuhan Perkara 6(7) Perlembagaan, penambahan Perkara 17A Perlembagaan dan penambahan takrif-takrif baharu bagi Perkara 46 Perlembagaan iaitu ‘kekosongan luar jangka’ serta ‘parti politik’.

Hajiji bagaimanapun menjelaskan RUU tersebut tidak terpakai kepada ADUN dilantik memandangkan mereka tidak memenanig pilihan raya dan tiada kerusi yang perlu dikosongkan.

RUU berkenaan dibahas oleh 12 ADUN membabitkan tujuh ADUN kerajaan manakala lima lagi daripada pembangkang.

Perbahasan berjalan lancar namun sedikit ketegangan berlaku memandangkan RUU berkenaan turut melibatkan klausa pembatalan Perkara 6(7) Perlembagaan yang menyatakan Yang Dipertua Sabah mempunyai hak untuk melantik mana-mana ketua parti yang diyakini mempunyai majoriti sebagai Ketua Menteri.

Berikutan itu, undi belah bahagian terpaksa dilakukan bagi klausa tersebut yang menyaksikan 61 ADUN menyokong, 14 ADUN Warisan tidak menyokong manakala empat lagi tidak hadir termasuk Pengerusi UMNO, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

You May Also Like