KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah mendesak agar catuan bekalan air dan elektrik ditumpukan kepada rumah-rumah kediaman wakil rakyat, pegawai tinggi kerajaan bergaji besar dan orang-orang kaya agar mereka turut merasakan penderitaan rakyat miskin selama ini.
Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) itu berkata, sejak 2010 lagi krisis bekalan air dan elektrik diramal bakal berlaku pada 2025, namun tidak dapat diselesaikan kerana sikap pemimpin politik, pegawai kerajaan serta NGO berkepentingan.
Tegasnya, biarpun berbilion ringgit peruntukan disediakan oleh kerajaan, krisis tersebut tidak akan berakhir sekiranya pemimpin-pemimpin dan pegawai tertinggi yang bertanggungjawab tidak mempunyai keazaman untuk menyelesaikannya.
“Kalau kita buat catuan atau blackout saya pesan kepada jabatan air dan juga SESB tolong pilih rumah-rumah orang kaya atau pun pegawai-pegawai kerajaan berpangkat tinggi dan bergaji besar atau yang berhormat semua.
“Kenapa saya mahu ini dipilih sebab apabila pendingin hawa, peti ais mereka rosak, apabila televisyen mereka rosak mereka ada keupayaan untuk membaiki.
“Jangan pilih perumahan jangan pilih tempat-tempat rakyat yang susah sebab apabila peti ais mereka rosak, kipas rosak satu tahun mereka simpan duit untuk perbelanjaan anak sekolah habis dibelanjakan membaiki peti ais dan kipas,” katanya ketika membahaskan ucapan Yang Dipertua Sabah dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Masiung berkata, alasan kecurian bekalan air dan elektrik yang masih lagi digunakan sampai sekarang juga tidak logik, malah amat mustahil pegawai-pegawai SESB atau jabatan air tidak tahu tentang aktiviti haram tersebut sedangkan segala-galanya telah disebarkan di media sosial.
Sehubungan itu, beliau secara sinis mendakwa kemungkinan aktiviti berkenaan mendapat perlindungan daripada pegawai kerajaan sendiri yang menerima ‘harapan’ daripada pencuri air dan elektrik agar tiada tindakan diambil.
“Jangan beritahu saya yang pegawai-pegawai SESB, pegawai-pegawai jabatan air tidak tahu masalah ini, jangan beritahu saya pemimpin-pemimpin masyarakat tidak tahu masalah ini, jangan beritahu saya jiran-jiran yang mencuri air tidak tahu masalah ini.
“Jangan beritahu saya pembaca-pembaca meter tidak tahu masalah ini, mereka tahu tetapi sama ada mahu selesaikan atau tidak, mungkin mahu diambil tindakan tetapi bila ditanya ada harapan, bila ada harapan tindakan tidak diambil,” tegasnya.