Liawan ingatkan Shafie masa KKLW apa berlaku?

Estimated read time 2 min read
Social Sharing

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman mengingatkan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal bahawa masalah air dan elektrik yang melanda negeri ini turut berlaku semasa beliau menjadi Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

Annuar Ayub memberi peringatan ketika mencelah perbahasan ADUN Senallang itu yang banyak mengkritik Kerajaan Sabah berkaitan masalah infrastruktur asas yang berlaku terutama isu air dan bekalan elektrik.

Menurut Annuar Ayub, semasa Mohd. Shafie menjadi menteri, memang ada projek infrastruktur yang dilaksanakan, namun tidak disiapkan dan gagal memberi manfaat kepada rakyat.

“Memang satu cadangan yang baik kita perlu reformasi, ini sangat mulia dan saya ingin bertanya juga kepada Senallang semasa jadi menteri KKLW ada beberapa projek dilaksanakan.

“Pada masa yang sama ada juga kedengaran bahawa ada tiang elektrik tiada kabel, itu di bawah kementerian Senallang semasa menjadi menteri.

“Ada juga paip-paip yang tidak ada loji jadi saya ingin bertanya, memang amat bagus kita kena buat perubahan cuma saya ingin ingatkan saja pada masa itu,” katanya.

Sementara itu, ADUN Telupid, Jonnybone J Kurum turut mencelah meminta penjelasan Mohd. Shafie apakah kekangan yang berlaku untuk menyelesaikan masalah keperluan asas itu semasa beliau menjadi menteri.

Menjawab soalan itu, Mohd. Shafie mengakui rasuah antara perkara utama yang berlaku semasa beliau memegang portfolio KKLW.

Maka katanya, kerajaan perlu minta balik semua duit rasuah yang disiasat sebelum ini untuk digunakan bagi perbelanjaan meningkatkan kualiti infrastruktur di Sabah.

“Banyak masalah dia saya sudah sebut rasuah di setiap daerah ada pungutan hasil air tiada di pulau gaya, air tiada di Sandakan. Itu masalah yang serius tidak pernah dalam sejarah jumlah duit beratus juta di Jabatan Air.

“Saya minta supaya kerajaan negeri minta duit itu sama ada daripada SPRM, dari jabatan-jabatan Persekutuan untuk dikembalikan dan digunakan duit itu,” katanya.

You May Also Like