KOTA KINABALU: Bekas Timbalan Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) Datuk Juil Nuatim telah diterima sebagai ahli langsung Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Adun Limbahau itu menyerahkan borang permohonannya kepada Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor di hadapan Presiden Parti STAR Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan dan Timbalan Presiden PBS Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam.
Datuk Juil sebelum ini telah mengumumkan meninggalkan Parti KDM pada 21 Mei, kerana beliau ingin membawa pembangunan ke kawasan Limbahau yang diwakili beliau.
Datuk Juil memenangi kerusi Limbahau dalam Pilihan Raya Negeri 2020 melalui tiket Warisan tetapi kemudian meninggalkan parti itu untuk membentuk Parti KDM bersama bekas naib presiden Warisan Datuk Peter Anthony pada Februari tahun lepas.
PKDM telah berulang kali menyatakan niat untuk menyertai GRS tetapi gabungan tersebut masih belum membuat keputusan mengenai permohonan itu.
Walau bagaimanapun, PKDM telah mengumumkan sokongan terhadap kerajaan negeri yang diketuai GRS dan kerajaan perpaduan persekutuan yang diketuai Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.