KOTA KINABALU: Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti yang akan dibentang dalam sesi Sidang DUN kali ini adalah penamat kepada cubaan Warisan dan UMNO untuk membentuk kerajaan melalui pintu belakang.
Pakatan antara Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin untuk menghasut wakil rakyat kerajaan membelot seperti dilakukan Januari lalu tidak akan berulang lagi.
Ketua Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan) Bahagian Telupid, Pinus Gondili berkata, pembentangan RUU Antilompat akan memberi kestabilan kepada kerajaan untuk mentadbir negeri dengan lebih baik demi kemajuan dan kebaikan rakyat.
“Kestabilan politik memberi kebaikan kepada rakyat termasuklah meningkatkan keyakinan penjawat awam, cukup-cukuplah kerajaan dijatuhkan kerana ada wakil rakyat melompat tetapi biarlah berlaku di dalam pilihan raya.
“Kita mahu politik stabil kerana kunci kepada ekonomi yang kukuh, manakala kemasukkan pelabur asing akan membuka peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah dan akhirnya membawa kepada kemakmuran ekonomi,” katanya hari ini.
Pada 6 Januari lalu, Bung mengumumkan UMNO menarik sokongan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Nor dan membentuk pakatan bersama Warisan untuk mengambil alih kerajaan namun gagal.
Langkah tidak demokratik itu bagaimanapun gagal selepas beberapa pemimpin UMNO sendiri enggan menarik sokongan demi memastikan politik Sabah tidak bergolak sekali lagi sehingga menyukarkan rakyat.
RUU Antilompat selepas ini pula akan mengikat mana-mana pemimpin kepada parti masing-masing dan sebarang tindakan mengubah sokongan boleh menyebabkan pemimpin berkenaan hilang kerusi yang dimenangi dalam pilihan raya.
Sementara itu, Hajiji semalam menangkis dakwaan kononnya Kerajaan Sabah sengaja melambat-lambatkan pembentangan RUU berkenaan sebaliknya menjelaskan banyak proses yang perlu dilakukan terlebih dahulu.
“RUU itu melibatkan pindaan terhadap Perlembagaan Negeri, serta memerlukan perkenan Yang di-Pertuan Agong dan Yang Dipertua Sabah sebelum boleh dibentang dalam DUN.
“Jadi tidak benar seperti dakwaan pembangkang bahawa kita sengaja melengah-lengahkannya, kita patuhi prosedur,” katanya seperti dilaporkan.
Dalam pada itu, Pinus meletakkan keyakinan kerajaan pimpinan Hajiji akan kekal lama kerana mempunyai sokongan majoriti yang kuat.
“Saya rasa meluluskan RUU tersebut sangat tepat pada waktu ini selagi kerajaan mempunyai dua pertiga majoriti di DUN. Saya sangat optimis kerajaan GRS di bawah pimpinan Ketua Menteri boleh bertahan lama,” katanya.