KOTA KINABALU: Catuan bekalan elektrik yang berlaku di beberapa kawasan di Sabah perlu untuk mengekalkan kestabilan sistem grid utama daripada terjejas disebabkan penggunaan meningkat melebihi kapasiti pada waktu-waktu tertentu.
Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Ir Mohd. Yaakob Jaafar berkata, sistem grid tersebut perlu kekal beroperasi mengikut kapasiti kerana sebarang kerosakkan akibat terlebih penggunaan boleh menyebabkan bekalan di seluruh negeri terputus dan untuk memulihkannya memakan masa yang lama.

Bagaimanapun katanya, SESB tidak pernah berdiam diri daripada menyelesaikan masalah yang berlaku sebaliknya pelan pemulihan jangka pendek telah dilaksanakan manakala pelan jangka panjang dijangka mampu melancarkan sepenuhnya bekalan elektrik di Sabah menjelang Jun 2024.
“Sekarang kita tengok penggunaan elektrik pada waktu malam contohnya sekitar 800 ke 900 megawatt tetapi disebabkan cuaca panas ketika ini penggunaannya meningkat melebih 1,000 megawatt jadi untuk memastikan grid kekal stabil catuan perlu dilakukan.
“Biasanya bekalan simpanan tenaga utiliti sepatutnya 20 ke 30 peratus tetapi disebabkan banyak faktor seperti kerosakkan generator di stesen janakuasa dan lain-lain menyebabkan margin bekalan menurun dan kesannya ialah penggunaan melebihi kapasiti,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Terdahulu, Mohd. Yaakob memberikan taklimat tentang situasi bekalan elektrik di Sabah kepada Menteri Kerja Raya, Datuk Ir Shahelmy Yahya di Pusat Agihan Bekalan Elektrik Sabah (SLDC) Penampang di sini. Turut hadir, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Limus Jury.
Mohd. Yaakob berkata, catuan bekalan yang bermula sejak 12 April lalu itu dijangka diteruskan sehingga 4 Julai, namun tidak seteruk seperti yang ditularkan sebaliknya hanya melibatkan 6 hingga 12 peratus berbanding jumlah keseluruhan pengguna.
Jelasnya, jumlah penggunaan maksimum yang direkodkan ialah pada 11 Mei lalu iaitu 1,080.19 megawatt melebihi jumlah tertinggi pada Ogos tahun lalu sebanyak 1,032 megawatt.

Katanya, bekalan elektrik yang terputus di sekitar Kota Kinabalu pada Selasa dan Rabu lalu bagaimanapun bukan disebabkan catuan sebaliknya gangguan bekalan berpunca daripada letupan suis gear di Karambunai serta kerosakan kabel bawah tanah di Meruntum, Putatan.
“Hari Selasa gangguan berlaku pada waktu maghrib akibat letupan voltan tinggi, tidak ada unsur sabotaj, kita masih teruskan siasatan kenapa suis gear itu meletup tetapi letupan itu memang kejadian teknikal yang boleh berlaku.
“Pada hari Rabu itu kerosakkan kabel bawah tanah jadi pasukan kami sedang mencari di mana kerosakkan setakat ini penemuan kami antara Meruntum dan Putatan, kalau kita jumpa kita akan korek balik dan tentukan apa kerosakkan,” jelasnya.
Mengulas mengenai pelan pemulihan SESB, Mohd. Yaakob berkata, ia melibatkan bekalan elektrik di seluruh negeri.
“Sebelum ini kita sudah pasang 11 genset bergerak di Tawau dan bulan Jun 17 lagi akan digunakan. Seterusnya antara Julai hingga Ogos kita akan pasang generator untuk Tawau dan Semporna yang berkapasiti 20 megawatt.
“Bulan Mac tahun depan generator akan dipasang di Kimanis berkapasiti 20 megawatt manakala stesen janakuasa Pangi akan beroperasi sepenuhnya menjelang Jun 2024 dengan kapasiti 66 megawatt,” jelas beliau.
Tambahnya, projek pembinaan stesen janakuasa baharu di Kimanis pula telah dianugerahkan kepada syarikat Ranhill Utilities Berhad yang mampu menjana 100 megawatt, namun berlaku sedikit kelewatan melibatkan pihak berkuasa.
“Apa yang berlaku melibatkan pihak berkuasa saya tidak boleh komen tetapi kali terakhir Sabah menerima stesen janakuasa baharu ialah pada 2014,” katanya.