KOTA KINABALU: Parti Warisan dikecam berikutan penularan mesej melalui aplikasi Whatsapp didakwa daripada pemimpinnya yang meminta agar semua ketua penerangan, blogger dan aktivis parti itu licik memanipulasi isu yang berlaku demi memburuk-burukkan Kerajaan GRS.
Mesej yang didakwa dikeluarkan Ketua Penerangan Pusat Warisan itu meminta agar tiga isu utama iaitu jalan raya, air dan elektrik dimanipulasi sepenuhnya agar GRS dilihat gagal di mata rakyat.
Dalam mesej tersebut, pemimpin Warisan sendiri mengakui sebahagian masalah yang berlaku sebenarnya tidak seteruk yang disangka, namun mereka perlu memanipulasinya agar kerajaan negeri menerima impak negatif.
“Jalan raya berlubang dan rosak – biarpun secara faktanya kebanyakkan jalan rosak adalah laluan sementara kerana menaik taraf jalan raya baru, sila tekankan sahaja isu bagi memanipulasi minda pembaca bahawa Kerajaan GRS gagal.
“Isu air – minta cybertrooper perhebatkan lagi serangan terhadap isu ini. Buat sentimen seolah-olah seluruh Sabah mempunyai masalah air.
“Setiap hari diminta setiap daerah membuat status Facebook masalah elektrik di kawasan mereka. Pastikan jangan sesekali memberitahu maklumat lokasi anda. Cuma nyatakan daerah anda sahaja bagi mengelakkan anda dicurigai bahawa post anda tidak benar,” kata mesej tersebut.
Mesej yang tular sejak tiga hari lalu itu turut mengingatkan agar Warisan tidak menyerang pemimpin Barisan Nasional (BN) malah perlu membantu mereka menyerang GRS tetapi tidak terlalu menonjol pada netizen.
Sementara itu, bekas Ketua Wira Warisan, Datuk Mohd. Azis Jamman melalui laman Facebook telah menafikan mesej itu dikeluarkan oleh pemimpin parti itu.
Ketua Penerangan Wira Warisan, Khairuddin Daud juga telah membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu kelmarin bagi menafikan mesej tersebut dan mendakwanya sebagai fitnah.