Jangan terpengaruh propaganda pembangkang menuding jari

Estimated read time 2 min read
Social Sharing

KIULU: Orang ramai diminta tidak terpengaruh dengan propaganda pembangkang yang cuba mempengaruhi rakyat Sabah agar menyalahkan sepenuhnya Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Nor berhubung masalah air dan elektrik yang melanda beberapa kawasan.

Ketua Penerangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Joniston Bangkuai berkata, masalah kemudahan asas telah berlaku di negeri ini sejak sekian lama, malah pemerintahan terdahulu juga tahu cabaran-cabaran yang dihadapi untuk mengatasinya.

Sehubungan itu katanya, orang ramai perlu mengelak daripada terlalu mudah terpengaruh sehingga menuding jari, sebaliknya menilai situasi itu secara menyeluruh termasuk mengambil kira kesukaran yang dihadapi dalam menguruskan kemudahan asas.

“Pembangkang terlalu cepat menuding jari dan menyalahkan sepenuhnya Ketua Menteri kerana faktor politik semata-mata. Mereka juga pernah mentadbir negeri dan biasa dengan cabaran-cabaran yang ada.

“Ketua Menteri telah bekerja keras untuk menyelesaikan masalah dan memastikan rakyat Sabah mempunyai akses keapda keperluan asas seperti elektrik dan air.

“Kita perlu akui pelaburan berterusan yang signifikan dan inisiatif yang telah diambil oleh kerajaan hari ini dalam usaha meningkatkan infrastruktur negeri dan memastikan bekalan keperluan asas sentiasa cukup,” katanya.

Joniston yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu dan Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS) berkata demikian dalam pertemuan bersama ahli jawatankuasa PBS PDM Kiulu hari ini.

Beliau berkata, komitmen yang dijanjikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini untuk membantu menyelesaikan masalah air di Sabah menunjukkan pendirian positif Kerajaan Persekutuan terhadap kepimpinan Hajiji.

Katanya, Sabah telah menyaksikan beberapa pembangunan positif dan pembaharuan polisi yang signifikan yang menyumbang kepada kebaikan negeri dan rakyatnya.

Jelasnya, ia termasuk kejayaan pentadbiran Hajiji yang merekodkan hasil tertinggi dalam sejarah iaitu RM6.6 bilion pada tahun 2022 dan pertambahan peruntukan kepada ADUN sebanyak RM3 juta tahun ini, iaitu peningkatan ketara berbanding ketika Warisan memerintah.

“Kebijaksanaan Hajiji dalam membuat keputusan, komitmen terhadap pentadbiran yang inklusif dan fokus kepada pembangunan ekonomi telah mendapat pujian dan sokongan meluas,” jelas beliau.

Joniston turut menggesa ahli-ahli PBS untuk meneruskan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Hajiji dan mengukuhkan kedudukan parti sebagai antara yang dominan dalam GRS serta bekerjasama dengan parti gabungan lain untuk menangani cabaran yang mendatang.

“PBS telah sekian lama diketahui berdedikasi terhadap kebajikan rakyat dan dengan mengukuhkan lagi sokongan terhadap GRS, parti ini mampu meluaskan pengaruh dan menyumbang secara berkesan kepada masa depan negeri,” katanya.

You May Also Like