PMX Janji Selesai Sepenuhnya Masalah Air Sabah

Estimated read time 2 min read
Social Sharing

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim berjanji akan membantu Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor untuk menyelesaikan secara mutlak masalah bekalan air di Sabah yang telah berlarutan sejak berpuluh tahun lalu.

Perdana Menteri berkata, kerajaan perlu bertanggungjawab untuk mencari dana agar langkah mengatasi masalah itu dapat dimulakan secepat mungkin dan penderitaan rakyat dapat diakhiri.

“Hajiji menyatakan bagaimana harus ada dana yang besar untuk selesaikan masalah air di Sabah dan saya menjawab tidak ada alasan untuk kerajaan 2023 tidak dapat memulakan program besar-besaran selesai sekali gus masalah air.

“Dia perlu dana besar, dia perlu pinjaman, dia perlu sukuk dan dia perlu bon itu masalah kita jangan bebankan kepada rakyat, dalam tempoh dua minggu saya akan undang Menteri Besar Kelantan dan Ketua Menteri Sabah serta pasukan untuk kita cari jalan penyelesaian.

“Kalau perlu berbilion ringgit kita perlu cari dan selesaikan, tahun ini juga kita mulakan, saya tidak mahu dengar di Sandakan air minum campur air masin,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 di PWTC hari ini.

Anwar berkata, kemerdekaan negara tidak bermakna jika rakyat tidak dibebaskan daripada kesengsaraan, justeru jalan penyelesaian perlu diambil agar masalah air tidak lagi berlaku.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri turut memuji kerjasama baik yang diterima daripada kerajaan pimpinan Hajiji selama ini termasuklah dalam soal pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

You May Also Like