KUALA LUMPUR: Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, penggubal dan pelaksana dasar di peringkat Kerajaan Persekutuan perlu mendokong komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam melaksanakan hak-hak Sabah selaras Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Ketua Menteri berkata, perjuangan menuntut hak-hak Sabah bukan bersifat kenegerian sebaliknya berlandaskan kepada kepentingan rakyat dan komitmen menjunjung Perlembagaan Persekutuan MA63 yang menjadi asas pembentukan negara.

“Saya ingin memberi jaminan bahawa suara dan tuntutan kita berkaitan hak-hak dan kepentingan Sabah bukan berkisar kepentingan kenegerian semata-mata tetapi berlandaskan Perlembagaan dan Perjanjian Malaysia 1963.
“Kita tidak sesekali mengambil hak-hak orang lain tetapi menuntut agar hak-hak kita dipelihara dan dilaksanakan, tidak timbul soal kesetiaan kepada negara, tanah air ini adalah milik bersama, hidup dan mati kita adalah untuk negara Malaysia tercinta.
“Kita amat menghargai keprihatinan Perdana Menteri laksanakan isu tertangguh sekian lama dalam MA63, kita harap komitmen ini didokong dan dilaksanakan oleh seluruh penggubal dan pelaksana dasar Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Hajiji berkata demikian ketika berucap dalam Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 bertemakan Madani Mengangkat Agenda Rakyat di PWTC di sini hari ini.
Beliau berkata, di negeri Sabah, perjuangan GRS seiring dengan agenda membangun Malaysia Madani iaitu memastikan kepentingan rakyat serta membentuk satu kesatuan seluruh rakyat untuk bergerak seiring, sehati sejiwa demi membawa perubahan dan melonjakkan pembangunan.
Jelas beliau, GRS juga mendokong gagasan yang diilhamkan Anwar untuk membangunkan Malaysia Madani secara tuntas iaitu bukan sahaja membentuk negara maju malah rakyatnya perlu turut maju.
Ini kerana katanya, kemajuan tidak akan lengkap jika hanya sebilangan masyarakat yang menikmati kemajuan itu, namun di tempat lain masih ada yang ketinggalan daripada arus perdana serta hidup susah.
“GRS amat mengalu-alukan komitmen Kerajaan Perpaduan dalam agenda menoktahkan miskin tegar.
“Makna kemajuan tidak lengkap sekiranya kepesatan pembangunan itu hanya tertumpu di kawasan dan negeri tertentu sahaja, masih ada negeri dan wilayah bergelumang dengan kemunduran ekonomi dan isu-isu infrastruktur termasuk kemudahan asas seperti air, elektrik dan jalan raya.
“Menjadi harapan GRS agar Kerajaan Persekutuan meletakkan dan mengangkat agenda kesaksamaan sosio ekonomi rakyat dan wilayah sebagai agenda nasional dalam pembangunan Malaysia Madani,” tambahnya.