KUALA LUMPUR: Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) menjadi perkara utama yang diperjuangkan setiap pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang berucap dalam Konvensyen Nasional Kerajaan perpaduan 2023.
Bagi pemimpin GRS, pembentukan negara yang berteraskan perpaduan dan Malaysia Madani perlulah menepati kehendak MA63 iaitu hak-hak rakyat Sabah yang masih belum ditunaikan sejak 60 tahun lalu dilaksanakan.
Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun menegaskan, orang Sabah sentiasa berbangga sebagai rakyat Malaysia, namun terkilan kerana rentak pembangunan di negeri itu terlalu jauh ketinggalan berbanding negeri-negeri di Semenanjung.

“Kerana itulah konsep Malaysia Madani ini penting kerana secara peribadi saya anggap ini sebagai kesinambungan Rukun Negara, Keluhuran Perlembagaan, kita mesti hormati peruntukan dalam Perlembagaan dan antara peruntukan itu ialah beberapa hak istimewa yang diberikan kepada Sabah dan Sarawak.
“Daripada segi agihan pembangunan, 40 peratus cukai yang dikutip di Sabah perlu dikembalikan kepada Sabah.
“MA63 dengan jelas memberi syarat kemasukkan Sabah Sarawak, saya berdiri sini bukan untuk mempertikai, saya mahu Malaysia maju, saya mahu Sabah Sarawak berasa bangga dalam negara yang dipanggil Malaysia,” katanya ketika membahaskan topik Malaysia Madani di konvensyen tersebut di PWTC hari ini.
Masidi berkata, tiba masanya Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim menetapkan salah satu agenda nasional ialah mengolah semula masa depan Malaysia ke arah lebih baik dengan menjadikan kekurangan pada masa lalu sebagai pedoman.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey Kitingan menegaskan, perbezaan pendapat yang berlaku antara rakyat Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung berpunca daripada kegagalan pemimpin lampau melaksanakan MA63.

Jeffrey yang membahaskan tajuk Negara Bangsa dalam konvensyen tersebut berkata, Perdana Menteri sekarang bagaimanapun sangat terbuka sejak mentadbir negara dan memberi harapan kepada pembentukan Malaysia yang lebih adil dan inklusif.
“Negara kita telah dibentuk 60 tahun lalu, semasa pembentukan Malaysia bapa-bapa kemerdekaan kita terlepas pandang beberapa perkara khusunya aspirasi Sabah dan Sarawak.
“Akibatnya Sabah dan Sarawak tidak selari atau pun sehaluan pendapat dalam banyak perkara terutama sekali isu hak dan status di dalam Negara Bangsa.
“Pemimpin-pemimpin pusat pada waktu itu bersikap tuan dan enggan melayan Sabah dan Sarawak sehinggalah rakyat sendiri mengubah landskap politik Malaysia bermula tahun 2018,” jelas Jeffrey.
Menurut Jeffrey, konsep kepimpinan Anwar kini yang banyak menunaikan permintaan Kerajaan Sabah mampu membuka laluan agar terbentuknya konsep sebenar Negara Bangsa Malaysia yang berteraskan kepada MA63.
“Bila ditanya tentang Jawatankuasa Khas MA63, Perdana Menteri mengatakan apa perlu jawatankuasa lagi, laksanakan sahaja MA63, inilah Perdana Menteri yang kita cari-cari, mungkinkan Negara Bangsa Malaysia sebenar telah muncul.
“Kita jadikan Malaysia tempat tinggal kepada semua, laksanakan konsep rakan sekutu sama rata, yang majoriti dokonglah minoriti dan lemah, serta sebaliknya yang minoriti dokonglah yang majoriti,” katanya.