TAWAU: Kampung Budaya Pasir Putih dan Kampung Tanjung Batu Laut di kawasan Tanjung Batu secara rasminya diwartakan sebagai rizab Kampung.

Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor telah menyerahkan warta kampung itu kepada Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT) Joseph Pang, sempena Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Sabah Softwoods Berhad, di Pasir Putih pada Rabu di sini.
“Kerajaan negeri telah meluluskan untuk memberi geran tanah di dua perkampungan di kawasan Tanjung Batu.
“Justeru, dengan pemberian geran tanah ini, rakyat yang tinggal di perkampungan itu tidak lagi berasa bimbang kerana ia telah dijadikan tanah rizab kampung,” katanya.
Yang turut hadir isterinya, Datin Seri Panglima Hajah Juliah Salag; Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr Safar Untong; dan Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur, Datuk Sr Bernard Liew.
Selain menghadiri beberapa lagi rumah terbuka Aidilfitri termasuk rumah terbuka Keluarga Titingan dan Bersatu Bahagian Kalabakan, Hajiji turut melawat ke Bangunan Persatuan Untuk Orang Pekak Tawau dan sempat meluangkan masa bertemu dengan anak-anak OKU yang belajar di situ serta tenaga kerja persatuan berkenaan.
Persatuan untuk Orang Pekak Tawau dapat RM1juta dari Kerajaan Negeri
Sempena majlis itu, ketua menteri turut menyampaikan sumbangan daripada kerajaan negeri sebanyak RM1 juta bagi pembinaan bangunan baharu persatuan manakala sebanyak RM50,000 lagi untuk kos operasi pusat berkenaan.

Sumbangan disampaikan kepada Pengerusi persatuan berkenaan, Dr Lo Vun Kong.

Pada malam ini, Ketua Menteri akan mengiriingi Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Haji Juhar Mahiruddin ke Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Majlis Tilawah Al-Quran dan Hafazan Peringkat Negeri Sabah 1443H/2022H di Dewan Masyarakat Tawau.-TheBorneoGazette