STB cari jalan percepat vaksinasi pekerja sektor pelancongan

Estimated read time 3 min read
Social Sharing

KOTA KINABALU: Pemberian vaksin Covid-19 kepada pekerja sektor pelancongan Sabah harus dipercepatkan agar industri pelancongan yang begitu penting bagi negeri ini dapat beroperasi semula secepat mungkin.

Bagi tujuan ini, Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB) Datuk Joniston Bangkuai berkata pihaknya akan berbincang dengan pejabat Kementerian Pelancongan persekutuan di Sabah.

Datuk Joniston Bangkuai. Gambar Fail

Beliau berkata ini adalah sebahagian daripada usaha bersepadu untuk mempercepatkan pembukaan semula industri pelancongan di negeri ini.

“Kita dimaklumkan jumlah pekerja pelancongan dan barisan hadapan yang telah menerima vaksin masih pada tahap rendah. Ini boleh menghalang pembukaan semula industri pelancongan Sabah dengan selamat,” katanya.

Keperluan untuk mempercepatkan vaksinasi Covid-19 tersebut adalah seiring dengan seruan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor bagi mecapai sasaran 60 peratus vaksinasi dikalangan penduduk Negeri Sabah menjelang Oktober.

Vaksinasi untuk pelancongan harus merangkumi, antara lain, staf hotel, pengendali pelancongan, pemandu bot, pekerja pelancongan desa, pemandu bas pelancongan, dan penyelam skuba.

“Setelah pekerja sektor pelancongan diberi vaksin, maka pergerakan antara negeri dapat dipertingkatkan,” kata Joniston ketika mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pelancongan Lembaga Pengarah semalam (Julai 26).

Joniston, yang juga Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, berkata mesyuarat tersebut juga menekankan kepentingan pematuhan SOP bagi membolehkan industri pelancongan dibuka semula dengan yang selamat.

Dalam pada itu, STB akan berbincang dengan pihak berkepentingan untuk memperoleh pensijilan Pelancongan Hijau dan memperkenalkan polisi insurans Covid-19 bagi meningkatkan keyakinan para pengunjung.

Joniston berkata STB turut sedar mengenai keperluan penglibatan berterusan bersama sektor swasta awam dan menyokong penggiat industri pelancongan khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam masa-masa sukar.

Ini termasuk menyokong infrastruktur pelancongan dengan memberikan geran kepada mereka yang terlibat untuk membantu dalam kerja-kerja pembaikan.

Tambah beliau, Jawatankuasa Pemulihan Pelancongan Negeri akan bermesyuarat minggu depan untuk membincang dan menyemak semula Peta Jalan Pemulihan Pelancongan yang dirangka selepas mesyuarat pertama jawatankuasa tersebut pada akhir tahun lepas.

“Setelah pandemik terkawal, STB akan melakukan pemasaran dan promosi yang lebih agresif untuk memanfaatkan segmen percutian dan pelancongan perniagaan,” kata Joniston.

Beliau berharap agar Kota Kinabalu turut dilibatkan dalam projek perintis negara bagi ‘travel bubble’ ataupun gelembung perjalanan seperti Kuching, Langkawi, Pulau Pangkor, dan Fraser Hill yang diumumkan oleh kementerian pelancongan persekutuan.

Dalam mesyuarat semalam, STB akan terus menyokong acara berimpak tinggi seperti pameran MATTA antarabangsa di Kuala Lumpur pada 20 November di mana Sabah dipaparkan sebagai destinasi domestik pilihan untuk Malaysia, dan SATTA Virtual Tourism Mart yang akan berlansung selama dua minggu bermula pada 16 September.

Mesyuarat itu turut membincangkan rancangan dan tindakan Sabah yang diusulkan untuk pembukaan semula industri pelancongan negeri yang telah terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Dalam usaha untuk sentiasa mengingatkan orang ramai mengenai Sabah sebagai destinsai tumpuan, STB kekal komited membuat jangkauan pemasaran walaupun terdapat perubahan dalam SOP dan lanjutan sekatan perjalanan.

Ini termasuk mengekalkan hubungan erat bersama rakan kongsi di pasaran utama di seluruh dunia dan mengadakan kempen Sesi #EnchantingSabahLive yang menyajikan pelbagai topik serta tarikan pelancong di Sabah.-BorneoGazette

You May Also Like